Monday, August 25, 2008

Falsafah Kejayaan di Dunia Islam

Falsafah kejayaan di dunia Islam masa kini masih didominasi oleh falsafah berfaksikan materialisme yang menganggap kejayaan mestilah dimulakan dan tertumpu kepada kekuatan material seperti banyaknya modal, kemahiran, kecekapan dan sebagainya. Falsafah kejayaan berpaksikan materialisme ini telah mewujudkan kelemahan dan kehinaan di dunia Islam kerana ia bukan alat yang bersumber dan wariskan Islam sebenar.

Tidaklah dinafikan bagaimana kemajuan dunia di Barat yang didominasi oleh falsafah kejayaan berpaksikan material. Ia telah membawa manusia keluar daripada kepompong kehidupan primitif, kuno dan beku kepada kehidupan serba moden.

Bagaimana pun, kejayaan yang dicapai telah menciptakan bencana sosial yang nampak tidak akan berkesudahan. Ia telah membahagikan struktur kehidupan sama ada di Barat mahu pun di dunia Islam menjadi dua kelas iaitu kelas hartawan dan kelas fakir dan miskin. Abu A’la al-Mududi (1980) menegaskan bahawa kelas hartawan bukan sekadar menguasai seluruh sumber kekayaan, tetapi ia juga bertindak sesuka hatinya. Kelas hartawan ini dikatakan tidak mempergunakan kekayaannya kecuali untuk kepentingan peribadinya. Ia mengorbankan kepentingan masyarakat untuk semakin memperbesar kekayaannya.

Oleh itu, kelas fakir dan miskin tidak memperoleh bahagiannya daripada sumber-sumber kekayaan kecuali sekadar memenuhi keperluannya yang minimal dalam rangka mempertahankan hidupnya. Ia telah dieksploitasi tenaga dan jasanya untuk dipersembahkan kepada sang hartawan.

Ini mempamerkan bahawa kejayaan yang dihasilkan oleh falsafah berpaksikan material ini adalah kejayaan semu. Hal ini berlaku kerana kekayaan dijadikan sebagai tujuan hidup. Bukan kerana secara kebetulan sumber-sumber kekayaan didominasi oleh mereka yang tidak ada iman dan takwa tetapi falsafah kejayaan berfaksikan meterialisme itu sendiri yang telah memesongkan jiwanya untuk tidak berperikemanusiaan.

Bahkan falsafah kejayaan berfaksikan materialisme ini mengandaikan bahawa kejayaan hanya boleh wujud jika isu iman dan takwa telah disingkirkan dalam kehidupan. Iman dan takwa dipandang tidak menyumbang kepada kejayaan selain dituduh sebagai penghalang kemajuan. Oleh itu, falsafah kejayaan berpaksikan iman dan takwa ini telah ditukar dengan falsafah berpaksikan material di dunia Islam. Ini menyebabkan dunia Islam tidak mampu setanding apatah lagi menyaingi umat lain seperti apa yang pernah dicapai pada kegemilangan Islam suatu masa dahulu.

Padahal iman dan takwa inilah pemangkin kejayaan yang menjadi warisan Islam sebenar. Ertinya, falsafah kejayaan umat Islam mestilah bermula dan tertumpu kepada iman dan takwa apabila inginkan kejayaan, bukannya kekuatan material. Walaupun implikasi iman dan takwa kepada kejayaan sukar ditafsir melalui logik akal. Namun, sejarah telah membuktikan
bagaimana umat Islam merebut kejayaan yang berpaksikan keimanan dan ketakwaan tersebut.
Secara zahirnya iman dan takwa ini mampu menjadi kontrol sosial dan kontrol moral. Sebagai kontrol sosial, iman dan takwa amat efektif menghapuskan jenayah, kezaliman dan sebagainya. Orang beriman dan bertakwa misalnya amat takut melakukan kejahatan, jenayah dan kezaliman kerana takutkan siksaan Allah S.W.T di akhirat yakni satu perkampungan kehidupan yang kekal abadi.

Kalau keadaan ini mengusasi kehidupan akan terserlahlah kreatifiti masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat diperlakukan dengan adil yang menjadi jembatan terbukanya kebebasan berkespresi sesuai dengan jalur kebenaran. Ini boleh menjadi tapak kepada kejayaan kerana manusia yang memperoleh keuntungan melalui penindasan dan kezaliman tanpa berasaskan kemampuan sebenar tidak akan mendapat tempat. Oleh itu, kejayaan yang dicapai akan menjadi kukuh kerana ia bukan menifestasi daripada kepalsuan sebagaimana kejayaan yang dimotifasikan oleh falsafah berpaksikan material.

Bahkan orang beriman dan bertakwa ini pula yang berjaya menganggap kejayaannya sebagai anugerah Allah S.W.T. yang patut disyukuri. Orang kaya misalnya di zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz dapat hidup secara harmonis dengan orang fakir dan miskin. Orang kayanya menjadi pemurah manakala orang fakir dan miskin redha dengan kemiskinannya. Selain tidak menjadi peminta-minta, orang miskin juga tidak melakukan kegiatan mencuri untuk mengenyangkan perutnya.

Sebagai kontrol moral pula iman dan takwa boleh membateras penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya. Ia juga mendidik manusia untuk hidup zuhud (sederhana). Oleh itu, apabila orang beriman dan bertakwa menjadi pemimpin akan wujudlah kemakmuran kerana tidak berlakunya pembaziran anggaran negara. Begitu juga, rasuah merupakan musuh yang memusnahkan pembangunan negara dari dalam tidak akan berlaku kerana tidak adanya manusia tamak dan rakus yang cenderung mementingkan diri sendiri.

Oleh itu, dapatlah difahami bagaimana implikasi iman dan takwa ini kepada kemajuan pembangunan. Ia bukan sahaja mampu mewujudkan hubungan harmonis, melahirkan hubungan kasih sayang antara sesama manusia, tetapi ia juga boleh menciptakan kejayaan dan kemakmuran yang melangkaui kejayaan yang didorong oleh falsafah berfaksikan kekuatan material.

Apa yang paling menguntungkan lagi orang beriman dan bertakwa lagi adalah dijanjikan bantuan dan akan dilipatgandakan kekuatannya oleh Allah S.W.T. Yusuf Abdullah al-Qardhawi (1996) misalnya telah menerangkan bagaimana Khalifah Umar bertindak mengutus Amr Ibn al-Ash untuk membuka daerah Mesir yang berkekuatan empat ribu tentera sahaja. Bilangan tentera ini dipandang tidak mencukupi yang menyebabkan Amr Ibn al-Ash meminta bantuan tentera tambahan. Khalifah Umar menerima permohonannya kemudian memberi bantuan tentera empat ribu orang dengan empat orang komander. Lalu Khalifah Umar menegaskan bahawa setiap seorang komander setanding dengan seribu orang tentera. Maknanya, bilangan tentera telah mencapai jumlah dua belas ribu orang. Bilangan tentera sebanyak dua belas ribu orang tersebut adalah banyak dan tidak terkalahkan.

Lebih dari itu, umat Islam telah mempamerkan bagaimana iman dan takwa ini boleh menawan kekuatan ekonomi di Madinah yang dikuasai oleh orang Yahudi di zaman Rasulullah s.a.w. Mengikut logik akal adalah mustahil umat Islam boleh menawan kekuatan ekonomi Madina yang telah ribuan tahun dikuasai bukan sahaja oleh orang Yahudi, tetapi juga masyarakat Arab sendiri. Apatah lagi umat Islam ketika itu yang terdiri daripada kaum ansar dan muhajirin hanya beberapa ratus orang sahaja.

Untuk mengukuhkan ekonomi umat Islam Rasulullah s.a.w. ketika itu telah bertindak mewujudkan pasar yang dikenali sebagai Suqal Ansar (pasar ansar) dengan melantik Abdul Rahman bin Auf sebagai pengarahnya. Abdul Rahman bin Auf adalah orang yang masuk dalam golongan al-'Asyarah al-Mubasyarah yakni orang yang mempunyai darjad kemuliaan di sisi Allah S.W.T. dan dijanjikan masuk sorga oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Pada masa yang sama Abdul Rahman bin Auf sendiri sememangnya cekap dalam bidang perniagaan.

Apa yang berlaku adalah umat Islam telah berjaya menguasai ekonomi Madina walaupun bilangan umat Islam ketika itu amat sedikit. Penguasaan ekonomi orang Yahudi semakin terhakis. Bahkan orang Yahudi dikatakan telah keluar dari Madina kerana mencari sesuap nasi sahaja amat susah bagi mereka.

Bercermin daripada pelbagai fenomena di atas dapatlah dinyatakan bahawa faktor kejayaan umat Islam adalah bermula dan tertumpu kepada iman dan takwa bukannya bermula dengan kekuatan material. Walaupun kekuatan material penting, namun ia tidak menyumbang kepada kejayaan hakiki tanpa iman dan takwa.

Oleh itu, umat Islam sepatutnya kembali kepada falsafah kejayaan berpaksikan iman dan takwa yang menjadi warisan Islam sebenar. Dengan bermula dan tertumpu kepada iman dan takwa ini akan wujudlah kejayaan kerana potensi dan kreatifiti masyarakat mudah terserlah dengan cemerlang. Harmonisasi kehidupan juga akan lebih aman dan sejuk. Bahkan kemakmuran dan kejayaan dapat dicapai dengan lebih cepat kerana manusia tidak akan berjuang sendiri melainkan dibantu oleh Allah S.W.T. selain dilipatgandakan segala sumber yang dimiliki termasuklah sumber manusia.