Thursday, November 23, 2006

Tazkiyah an-Nafs Dalam Pembangunan Berteraskan Islam

Pada prinsipnya pembangunan fizikal dan material adalah berfungsi untuk meringankan beban hidup manusia. Ia boleh dilihat secara jelas terutamanya selepas revolusi industri yang berjaya membabitkan penggunaan jentera dan peralatan besar. Penggunaan jentera dan peralatan besar ini bukan hanya boleh menggantikan beribu-ribu tenaga manusia, malah ia juga mampu mengolah sumber alam yang beribu kali ganda berbanding sebelumnya. Umpamanya, alat tenun moden dapat menggantikan pekerjaan dua ribu tukang tenun dalam masa sehari, manakala dua puluh alat tenun pula boleh dijaga sistem operasinya oleh seorang sahaja. Begitu pula mesin pencetak dewasa ini boleh mencetak sejuta helai dalam sehari yang boleh menggantikan puluhan ribu atau ratusan ribu tenaga manusia (Yusuf Al-Qaradhawi 1998: 178). Ringkasnya, pembangunan fizikal dan material boleh mengatasi kesukaran hidup manusia.

Malah, pembangunan fizikal dan material seperti sains dan teknologi banyak membantu, memudahkan, melancarkan tugas-tugas dan kewajipan umat Islam. Secara sedar atau tidak umat Islam telah pun lama memanfaatkan pembangunan fizikal dan material ini. Umpamanya mencetak al-Qur’an, kitab-kitab pengajian Islam, memudahkan pelaksanaan ibadah seperti pengangkutan untuk pelaksanaan ibadah haji dan sebagainya (Yusuf al-Qardhawi 2003: 130).

Lebih daripada itu, Yusuf al-Qardhawi (2000: 325-326) menegaskan bahawa umat Islam patut menguasai, cekap dan berkemahiran mewujudkan pembangunan fizikal dan material dalam pelbagai aspek ini secara berkesan dan berdikari. Umat Islam dikatakan akan kehilangan jati diri apabila segala kepakaran, industri berat, peralatan ketenteraan dan sebagainya diimport dari luar apatah lagi peralatan bersifat khusus dan rahsia. Perkara ini perlu dilakukan untuk menjaga keselamatan agama, bangsa dan negara di samping umat Islam akan merasa aman dan tenteram.

Inilah antara hikmah sebenar sehingga pembangunan fizikal dan material digolongkan sebagai fardhu kifayah yakni kewajipan yang mesti diwujudkan oleh sekelompok masyarakat Islam. Setiap individu yang ada dalam kelompok masyarakat akan berdosa selagi ia belum diwujudkan oleh kelompok masyarakat tersebut. Walaubagaimana pun, semua anggota dalam kelompok berkenaan akan terlepas dari kewajipan (dosa) dan dianggap telah ditunaikan setelah dilaksanakan oleh sebilangan anggota kumpulan atau individu sahaja dalam kelompok tersebut. Untuk itu, Imam Syafie’ menyatakan meskipun fardhu kifayah bersifat umum tetapi maksudnya khusus (Md. Akhir Haji Yaacub 1997: 39-41). Maknanya, pembangunan fizikal dan material yang diperlukan mestilah diwujudkan agar umat Islam mudah melaksanakan segala tugas dan kewajipan yang diamanahkan oleh Allah SWT. dan Rasul-Nya.

Sebagai contoh mendalami ilmu ekonomi, ilmu politik, ilmu hisab, ilmu pertanian dan lain-lain yang diperlukan masyarakat Islam. Dalam hal ini masyarakat Islam secara keseluruhannya dituntut secara berjemaah menimbulkan ‘sebab-sebab’ agar dapat melahirkan pelbagai pakar pertanian, ekonomi, perubatan, politik, perniagaan, undang-undang dan sebagainya. Para penuntut dituntut secara khusus daripada orang yang memiliki kemampuan dalam bidang berkenaan (Ibid: 41). Oleh itu, nyatalah mengapa semua orang itu berdosa jika tuntutan itu tidak dilaksanakan dan nyata juga orang yang tidak melaksanakan dikira sebagai melaksanakan kerana ia termasuk dalam kumpulan penyedia ‘sebab-sebab’.

Oleh kerana pentingnya kemahiran, penguasaan dan menjayakan pembangunan fizikal dan material maka Yusuf al-Qardhawi (1996: 159) menegaskan bahawa dalam keadaan tertentu fardhu kifayah boleh berubah menjadi fardhu ‘ain ke atas seseorang individu. Ini berlaku apabila hanya seorang individu sahaja yang memiliki bakat atau sifat-sifat tertentu yang tidak dimiliki oleh orang lain dan tidak ada sebarang tidak ada halangan bagi dirinya untuk melakukan tugas-tugas tersebut. ....bersambung

No comments: