Wednesday, January 17, 2007

Poligami

Poligami menjadi perdebatan hangat bukan sahaja di kalangan masyarakat awam tetapi juga dikalangan orang terpelajar. Pelbagai masalah dan persepsi muncul daripada perilaku poligami ini. Ada yang pro dan kontra. Bagi orang yang pro mungkin melihat poligami daripada sisi syiar Islam. Yang kontra pula melihat poligami sebagai perbuatan yang menyeleweng, tidak bertanggungjawab, perbuatan tidak bermoral yang perlu dikutuk.

Perdebatan pro dan kontra poligami sekarang ini paling hangat diperbincangkan di Indonesia. Ini berlaku sebaik sahaja Abdullah Gymnastiar pengasas Manajemen Qolbu Corporation, Bandung Indonesia mengahwini seorang janda bekas model Indonesia sebagai isteri keduanya.

Pelajar Indonesia di Malaysia khususnya di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang tidak kurang gairahnya dalam membincangkan poligami Abdullah Gymanastiar. Saya tidak tahu pasti mengapa pelajar Indonesia di USM sama ada pelajar perempuan atau lelaki amat bersemangat memberikan buah fikiran terutamanya di E-Mail Persatuan Pelajar Indonesia (PPI).

Saya juga terheret dalam perbincangan di E-Mail PPI ini kerana beberapa pendapat yang boleh melahirkan kesan bahawa poligami sebagai perbuatan yang mengaibkan agama. Malangnya, ada yang menyatakan bahawa poligami ini diwujudkan dalam rangka mengatasi masalah sosial pada zaman Nabi kerana banyak janda-janda akibat suami mereka syahid di Medan perang. Masalahnya, adalah kenyataan ini memberi kesan bahawa kawin lebih dari satu hanya diberlakukan untuk zaman Nabi sahaja.

Oleh itu, saya cuba memberi pandangan mengenai poligami ini. Bagaimana pun, pandangan saya di bawah ini telah dilakukan penambahbaikan:


Dalam Islam, poligami dibenarkan. Ia merupakan suatu perbuatan yang dihalalkan. Pendeknya, poligami dihukumkan boleh (mubah). Ia berbeza daripada empat hukum lain seperti wajib, sunat, makruh dan haram. Hukum ‘boleh’ ini tidaklah bererti ia boleh dilaksanakan tanpa melalui pertimbangan sewajarnya sama ada melalui dalil naqli atau dalil aqli. Bahkan hukum boleh ini juga boleh berubah menjadi makruh malah boleh menjadi haram.

Maknanya, hukum boleh dalam berpoligami ini adalah bersifat elastis. Ia boleh digalakkan tetapi pada pada kes-kes tertentu ia perlu dilarang. Kerajaan mempunyai dan boleh menggunakan kuasanya untuk melarang poligami apabila terdapat kes-kes tertentu yang mudharatkan kehidupan.

Sebaliknya, amalan berpoligami ini juga boleh digalakkan apabila diperlukan. Umpamanya, setelah berlakunya perang jumlah wanita lebih banyak daripada jumlah lelaki kerana syahid di medan perang. Dapatlah dibayangkan bahawa pada masa ini juga berlaku kekurangan penduduk. Apabila pertambahan penduduk amat diperlukan maka menganjurkan poligami adalah lebih kukuh alasannya daripada melarangnya.

Hal ini menggambarkan bahawa melarang poligami secara mutlak akan menimbulkan masalah yang cukup rumit. Di sinilah juga nampak keagungan dan keuniversalan Islam sebagai agama sempurna.

Oleh kerana ia perbuatan yang dihalalkan, maka manusia (umat Islam khususnya) tidak layak mempertikaikannya. Apalagi ia dianggap satu perbuatan yang menyimpang dan tidak bertanggungjawab.

Kritikan yang berlebihan cenderung terjebak kepada pemikiran yang mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah. Jika ini berlaku maka akan rosaklah sendi kehidupan dalam beragama. Akibatnya, kebenaran wahyu akan menjadi relatif. Apa yang akan wujud adalah manusia akan terumbang-ambing kerana kehilangan pegangan. Kebenaran mutlak dengan sendirinya akan terhapus secara perlahan-lahan.

Padahal wahyu adalah untuk meluruskan kefahaman dan pemikiran manusia mengenai kebenaran dan bukanlah kefahaman dan pemikiran manusia yang akan membetulkan kebenaran.

Pengetahuan Allah meliputi semua, tidak mengenal sempadan geografi, lintas zaman dan waktu, yang zahir atau yang ghaib. Ia bukan sekadar mengatasi masalah lokal-sosial pada zaman Nabi. Jadi, hukum Allah bukan untuk kepentingan zaman tertentu sahaja. Hukum Allah adalah bersifat universal yang memenuhi segala ruang dan waktu secara adil.

Setiap yang benar pasti ilmiah. Setiap yang ilmiah boleh benar dan boleh salah. Al-Qur'an itu benar. Bererti al-Qur'an itu ilmiah.

Sepatutnya umat Islam berhati-hati merespon isu poligami melalui fikiran apatah lagi yang berasas kepada kerangka ilmiah kerana boleh jadi ia bermakna memprotes Maha Pencipta.

Laki-laki berpoligami tidak berdosa. Yang berdosa adalah suami yang berpoligami apabila zalim kepada isterinya. Tidak berbeza dengan suami yang berpoligami, suami yang bermonogami juga akan berdosa apabila menzalimi isterinya.

Maknanya, suami yang berpoligami dan bermonogami kedua-duanya tidak bebas dari ancaman dosa apabila zalim.

Ketidakadilan memang dekat pada orang berpoligami. Bermonogami memang lebih mudah berbuat adil kerana hanya menumpahkan cinta dan kasih sayangnya kepada satu orang sahaja. Walaubagaimana pun, orang yang bermonogami juga mempunyai potensi melakukan kezaliman. Banyak kes didapati suami yang mempunyai isteri satu tetapi isteri yang tidak sah ada di mana-mana.

Dengan demikian dapatlah difahami bahawa orang berpoligami yang adil adalah lebih baik dari orang bermonogami tetapi zalim. Ini kerana orang yang berpoligami dengan adil jelas isterinya berada di mana. Tetapi orang yang bermonogami yang zalim ‘isteri’nya ada di mana-mana. Apabila ini berlaku maka kebencian apatah lagi melarang amalan poligami ini secara mutlak adalah satu kesilapan yang perlu diluruskan.

Di sinilah keistimewaan poligami ini khususnya bagi mereka yang mempunyai kekuatan lebih dalam menyalurkan hasrat. Jadi, secara sederhananya berpoligami ini boleh mengurangi munculnya resiko perzinaan. Walaubagaimana pun, amalan poligami semata-mata tidaklah mencukupi untuk menghentikan budaya zina. Namun apabila pembanterasan perzinaan yang mahu dijadikan isu pokok, ia perlu kepada usaha-usaha lain selaras dengan sistem Islam dalam menghentikan perzinaan tersebut.

Lebih daripada itu, Islam tidaklah juga menafikan akan adanya unsur negatif dalam pelaksanaan poligami tetapi bukan hakikat poligami itu sendiri. Oleh itu, Islam telah meletakkan syarat penting kepada mereka yang hendak berpoligami yakni mestilah yakin mampu berbuat adil. Sekiranya tidak, maka untuk menjaga keselamatan diri dan agama maka kawin satu orang atau bermonogami adalah amat perlu mendapat keutamaan.


Muhammad Tahir

No comments: